Laras Bahasa Iklan

Minggu, 22 Desember 2013

Menurut Kamus Bahasa Melayu, susunan Arbak Othman (1999), iklan dapat diartikan sebagai sesuatu kenyataan yang ditulis, dibuat untuk tujuan memberitahu kepada orang ramai atau masyarakat tentang sesuatu perkara atau maklumat. Iklan biasanya disampaikan melalui media massa - media cetak dan media elektronik. Namun ada juga yang berbentuk poster-poster yang ditampalkan pada dinding-dinding kenyataan dan sebagainya. Bahasa iklan mula berkembang dengan pesat di negara ini pada tahun 1960 an. Pada masa itu iklan dalam bahasa Melayu lahir sebagai terjemahan daripada iklan dalam bahasa Inggeris, maka kebanyakan iklan adalah sangat berbau Inggeris.

Iklan itu ada berbagai-bagai jenis antaranya, iklan yang dibuat khas oleh pihak kerajaan (seperti iklan-iklan  kekosongan pekerjaan, iklan tawaran tender-tender dan sebagainya), iklan yang bersifat peribadi (umpamanya iklan-iklan ucapan tahniah atau ucapan takziah kematian seseorang) dan sebagainya.

Fungsi iklan itu dibuat ialah untuk mempengaruhi pengguna dan untuk menimbulkan tanggapan tertentu tentang sesuatu produk atau barangan atau perkhidmatan yang hendak diperkenalkan. Penggunaan bahasa yang baik dan berkesan bertujuan menyampaikan mesej kepada sasaran iaitu pengguna. Iklan yang baik bertujuan mengubah sikap pengguna dan mempengaruhi mereka membeli atau melanggan barangan yang diperkenalkan (Kamaruddin Husin 1995). Mesej yang digunakan dalam iklan harus mempunyai pelbagai strategi
yang membawa ke arah pengaruh yang positif (Asmah Omar 1982). Dalamhubungannya dengan perniagaan, iklan adalah sesuatu yang mustahak dan menjadi salah satu faktor yang terpenting menggerakkan sesebuah perniagaan.

Oleh yang demikian, kewujudan akhbar-akhbar selaku penyampai informasi perkembangan terbaru semasa baik tempatan, 'regional' mahupun global berperanan secara tidak langsung sebagai landasan untuk syarikat-syarikat perniagaan memperagakan perniagaan dan barangan mereka.

i.  Cara Penghasilan Iklan dan Pemilihan Larasnya

Iklan-iklan yang dibuat terdiri dari pelbagai saiz yang biasanya disokong oleh gambar-gambar produk atau barangan yang diiklankan, disertai lukisan grafik, ilustrasi dan sebagainya. Dari itu, dengan memfokuskan laras bahasa yang digunakan, dapatlah dikatakan majoriti iklan dihasilkan dengan beberapa cara seperti berikut:

(a) Mempunyai Slogan

Slogan ialah kata-kata yang dijadikan pegangan sesuatu pertubuhan atau syarikat pengeluaran barangan.  eperti juga halnya dengan iklan-iklan di televisyen, sebilangan iklan-iklan di akhbar juga mempunyai
slogan. Slogan dicipta sebagai trademark sesuatu barangan. Contohnya dalam iklan pil multivitamin Kiddi Pharmaton dengan slogannya 'Membantu Anak Anda Membesar Untuk Masa Depan yang
Cemerlang', juga slogan 'Cepat, Mudah, Mesra' iaitu seperti yang terdapat dalam iklan pinjaman wang, ruangan Rampaiklan.

(b) Kaedah Pernyataan

Menyatakan secara langsung tujuan pengiklanan. Seperti yang banyakterdapat dalam ruangan Rampaiklan, dengan menggunakan frasa-frasa atau klausa-klausa seperti 'Rumah/Kenderaan /  Tanah Untuk
dijual / sewa', 'Kerja Sambilan Kontraktor Dikehendaki Segera', 'Agensi
Pembantu Rumah' dan sebagainya.

(c) Ada Kaitan Konsep

Yang dimaksudkan dengan kaitan konsep ialah dengan mengaitkansesebuah produk dengan sesuatu atau individu yang terkenal atau yang mempunyai nilai komersial, seperti dengan mengaitkan seseorang artis atau penyanyi dengan sesuatu produk barangan. Sebagai contoh, sebuah syarikat pembekal akses internet, TM Net prabayar telah mengaitkan perniagaannya dengan melantik penyanyi terkenal Malaysia, Siti Nurhaliza sebagai duta TM Net. Kaedah iklan sebegini adalah bertujuan untuk menarik perhatian pelanggan, khasnya golongan remaja memandangkan penyanyi berkenaan mempunyai 'fanbased' yang begitu ramai. Begitu juga dengan barangan lain seperti sabun mandi, tilam berjenama, rantai berlian, minyak rambut dansebagainya yang kebanyakannya turut dikaitkan dengan artis-artis, khasnya artis wanita. Dan artis berkenaan akan menyatakan sesuatu yang berupa ayat-ayat atau laras-laras tertentu yang dapat dijadikan tarikan barangan yang diniagakan.

(d) Umpanan

Kaedah umpanan kerap didapat dalam mana-mana iklan, tidak terkecuali iklan akhbar. Umpanan bermaksud merancang strategik untuk menarik atau memperdayakan pelanggan. Contoh laras iklan yang berbentuk umpanan ini adalah seperti yang berbunyi 'Beli Satu, Percuma Satu' iaitu iklan berkenaan dengan peraduan minuman Vitagen dan Marigold yang menawarkan hadiah SATU SET RUANG TAMU YANG LENGKAP, dengan syarat mengumpulkan seberapa banyak mungkin bukti pembelian minuman berkenaan.

Selain itu, dalam iklan pesanan Cakera Padat (CD) Al-Qur'an Interaktif, ada dinyatakan kata umpanan yang berbunyi 'Penghantaran Pos Percuma'.

(e) Pesanan (Menyertakan Borang)

Terdapat juga iklan yang menyediakan kemudahan pesanan barangan dengan menyediakan borang pesanan. Misalnya, iklan pesanan Cakera Padat (CD) Al-Qur'an Interaktif yang menyediakan borang pesanan. Dalam borang itu mengehendaki pembaca mengisikan butir-butir peribadi, seperti nama penuh, umur, jantina, bangsa, alamat, nombor telefon dan sebagainya. Begitu juga halnya dengan, iklan peraduan minuman Vitagen dan Marigold yang menawarkan hadiah SATU SET RUANG TAMU YANG LENGKAP juga turut menyediakan borang penyertaan yang juga memerlukan pembaca yang ingin menyertai pertandingan itu untuk
mengisi butir-butir peribadi yang dikehendaki. Tetapi dalam peraduan itu, ditambah dengan beberapa syarat penyertaan yang berupa sebuah wacana lengkap mengenai pertandingan tersebut.

(f) Bandingan

Iklan yang berbentuk sebegini dibuat dengan cara membandingkan sesuatu barangan dengan barangan lain. Umpamanya akan dinyatakan serbuk pencuci Dynamo lebih berkuasa daripada serbuk pencuci berjenama X.

(g) Gesaan

Laras iklan sebegini menggesa pengguna atau pembaca untuk mengambil perhatian perkara atau barangan yang diiklankan.Contohnya, dalam iklan makanan segera ala barat Mc Donald di atas ada menyatakan dengan klausa "Cubalah Nasi Ayam McD hari ini "

(h) Pertanyaan

Penggunaan penanda "?" kerap didapati dalam iklan-iklan akhbar. Teknik ini adalah salah satu lagi cara dalam penggunaan laras bahasa iklan. Dalam iklan cairan pencuci pakaian DYNAMO ada dinyatakan dengan ayat "LEBIH MUDAH!

Penggunaan tanda tanya "?" dapat menguatkan hujah / laras iklan. Erti kata lain ia seolah-olah memaksa pengguna menyahut cabaran iklan berkenaan. Contoh frasa lain yang digunakan ialah seperti, "Sakit Kepala? Sapulah Dengan Minyak Angin ABC".

0 komentar:

Posting Komentar